MASALAH DISIPLIN PELAJAR DI SEKOLAH
Masalah disiplin pelajar di sekolah-sekolah hari ini telah menjadi berita hangat yang dibincangkan. Ia bukan sahaja melibatkan pihak sekolah, Kementerian Pelajaran malah turut melibatkan pihak polis dalam mengambil tindakan terhadap murid-murid yang terbabit kerana masalah ini bukan sekadar masalah kecil tetapi ada yang sudah melangkaui masalah jenayah. Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan murid di sekolah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Di sekolah, disiplin adalah peraturan yang dikenakan ke atas pelajar dengan tujuan mengawal tingkah laku mereka melalui hukuman. Murid-murid di harap supaya berkelakuan baik dan mendisiplinkan diri semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Mekanisme disiplin bertujuan memupuk pertumbuhan dan mewujudkan perhubungan yang sihat antara semua masyarakat sekolah. . Salah laku yang sering dilakukan oleh murid termasuklah ponteng, melawan guru, vandalisme, kekemasan diri, buli dan sebagainya. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah tersebut
Seterusnya, Ibu bapa perlu bijak dalam membahagikan masa dengan anak-anak. Hal ini demikian, antara faktor yang mendorong kepada masalah disiplin ini ialah berpunca daripada ibu bapa yang sibuk mencari nafkah sehinggakan anak-anak terabai. Kita perlu sedar, institusi keluarga merupakan faktor penting dalam pembentukan disiplin di sekolah kerana di sinilah asas disiplin diperoleh sebelum murid menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Kasih sayang yang mereka peroleh akan menimbulkan kesedaran dan tanggungjawab sebagai anak dan murid.
Selain itu, media massa turut memainkan peranan untuk mengatasi masalah disiplin murid. Media massa, khususnya televisyen tidak seharusnya terlalu mementingkan keuntungan, sebaliknya harus berperanan membentuk. Mendidik, dan menanamkan kesedaran kepada penonton. Program-program yang bercirikan keganasan dan seks patut dihentikan terus penayangannya kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesan negatif kepada murid-murid.
Seterusnya, kita perlulah bijak memilih rakan sebaya. Murid sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibu bapa yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang positif akan memastikan disiplin murid itu terjamin.
Seterusnya, pihak pentadbir sekolah juga boleh menangani masalah disiplin murid dengan cara memperketat pelaksanaan peraturan sekolah, mengenakan hukuman yang berat kepada mereka yang terlibat supaya menjadi teladan kepada murid yang lain. Guru-guru juga perlu diberi kuasa sepenuhnya untuk melaksanakan peraturan sekolah selain tanggungjawab yang dipikul oleh guru disiplin. Persatuan ibu bapa dan Guru (PIBG) juga mesti memainkan peranan untuk menangani masalah disiplin murid-murid.
Kesimpulannya, salah laku dan kemerosotan disiplin murid akan berterusan sekiranya pihak yang terlibat enggan berganding bahu untuk mengorak langkah bersama-sama menangani masalah ini. Jika dibiarkan berterusan , keadaan yang sedia ada boleh mengugat perkembangan murid dan sistem pendidikan di negara ini. Keperihatinan masyarakat bermaksud memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, khususnya pihak polis dalam menyampaikan maklumat serta membantu melaksanakan peraturan sedia ada.