Jumlah perenggan isi bergantung kepada jumlah isi utama. Satu isi utama dihuraikan dalam satu perenggan supaya karangan lebih kemas dan memudahkan pemeriksa mengenal pasti isi utama dan isi sampingan. Penyusunan isi utama pula mengikut kepentingan, iaitu yang lebih penting atau dapat dihuraikan dengan jelas hendaklah didahulukan.
Setiap perenggan isi boleh dihuraikan dengan empat atau lima ayat. Perenggan isi dimulakan dengan satu ayat topik, iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Bagi pelajar yang sudah cekap mengarang, ayat topik boleh juga diletakkan di tengah atau bahagian akhir perenggan. Tetapi, untuk memudahkan pelajar membuat huraian, lebih baik diletakkan pada awal perenggan. Ini diikuti oleh dua hingga empat ayat huraian. Ayat ini mengandungi isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik, dan kadangkala termasuk contoh yang difikirkan sesuai.
Contohnya, pelajar boleh menulis satu perenggan isi sebagaimana yang berikut:
(1) Satu daripada sikap sebilangan anggota masyarakat kita adalah tidak mementingkan aspek kebersihan persekitaran dalam kehidupan sehari-hari.
(2) Mereka tidak suka kepada sampah-sarap, tetapi mereka mengambil mudah urusan membuang sampah.
(3) Dengan sikap ini mereka menjadikan longkang, sungai dan tasik sebagai tong sampah, sebagaimana yang lazim berlaku di perkampungan setinggan.
(4) Hal ini bukan sahaja menyebabkan air sungai atau tasik tercemar, tetapi juga memudahkan terjadinya banjir kilat kerana laluan air tersekat ketika hujan.
Ayat (1) merupakan ayat topik, iaitu yang menyatakan isi utamanya, "sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan". Ayat-ayat berikutnya merupakan ayat huraian, iaitu ayat (2) dan (3) memberikan contoh sikap yang dinyatakan, manakala ayat (4) menerangkan akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab tersebut.