Penggunaan bahasa dalam karangan boleh dilihat dari segi penggunaan tatabahasa. Tatabahasa merupakan elemen yang sangat penting dalam bahasa. Tatabahasa adalah bidang yang menumpukan kepada pembentukan kata dan proses pembinaan ayat sesuatu bahasa (Nik Safiah Karim & Norlidza Shamsudin, 2008). Tatabahasa juga boleh dilihat sebagai teori tentang peraturan yang menghuraikan ayat-ayat dalam sesuatu bahasa dengan kaedah yang paling mudah, tepat, dan lengkap. Tinjauan dalam bidang tatabahasa dilakukan dalam dua segi iaitu dari segi cara perkataan dibentuk daripada bunyi-bunyi bahasa (morfologi) dari segi perkataan-perkataan disusun menjadi ayat (sintaksis). Ketika mengarang, pelajar tidak mengambil berat tentang kesalahan tatabahasa menyebabkan pelajar banyak membuat kesalahan tatabahasa dalam karangan mereka. Kesalahan serius yang sering dilakukan murid semasa menulis karangan adalah seperti berikut :
1. Penggunaan kata hubung pada awal ayat sebagai penanda wacana : Namun, Tetapi, Malah, Manakala Sepatutnya : Akan tetapi, Namun begitu, (Penanda wacana) …..manakala……, ……malah…. (ditulis untuk menghubungkan dua ayat)
2. Ayat tergantung. ( Bak kata pepatah…..) ditulis pada awal ayat. Sepatutnya …..bak kata pepatah….(ditulis di dalam ayat)
3. Kesalahan ejaan…bah kata peribahasa….sepatutnya …bak kata peribahasa. ‘bah’ membawa maksud ‘banjir’.
4. memberi kasih sayang …… sepatutnya memberikan kasih sayang. Umumnya, kata kerja ‘memberikan’ perlu diikuti oleh objek tidak bernyawa manakala ‘memberi’ diikuti objek bernyawa.
5. Ayat tergantung kerana tiada subjek. Ini menunjukkan….. sepatutnya Hal/ Perkara ini menunjukkan……
6. Ini kerana …… sepatutnya Hal ini demikian kerana…
7. Justeru itu, …digunakan sebagai penanda wacana. ‘justeru’ ialah kata hubung yang membawa maksud ‘malahan’ atau ‘bahkan’.
8. Tidak menyelitkan objek selepas kata kerja transitif. …mempunyai banyak pilihan….. ‘banyak’ bukannya objek. ‘banyak’ ialah kata bilangan tidak tentu. Objek mesti kata nama. Sepatutnya : ….. mempunyai pilihan yang banyak…/ banyak mempunyai pilihan
9. Kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’ digunakan sesuka hati. ‘ialah’ perlu diikuti kata nama nama. ‘adalah’ perlu diikuti kata adjektif atau kata sendi nama.
10. Kata kerja tidak menerima kata pemeri. Anda perlu tambah kata sendi nama pada kata pemeri ‘adalah’. Sebagai contoh: Langkah-langkah yang perlu diambil adalah menguatkuasakan undang-undang……sepatutnya ….adalah dengan menguatkuasakan………/ adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan… antara kata sendiri nama yang dapat digunakan ( adalah untuk/adalah dengan/adalah melalui, adalah seperti)